Saturday, January 13, 2007

Dadih Herba Berkhasiat

Berita Harian, 30 Jan 2004

SELAIN buah-buahan, herba turut dijadikan sebagai sebahagian daripada ramuan dadih. Selain menambah nilai dan khasiatnya, ia turut memenuhi kehendak orang ramai yang ingin mendapat khasiat dadih tetapi dalam ‘suatu rasa baru’ tetapi menyelerakan. Ini kerana rasa asli dadih umumnya kurang disenangi kerana ia agak masam, kurang sedap selain berbau basi.

Menyedari hal itu, Magic Foods Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar minuman berjenama Sunglo menghasilkan empat produk dadih bercampur herba, iaitu chamomile (kamomil), melisse, fennel (jintan hitam) dan echinacea yang kini berada di pasaran. Dengan kandungan 200 ml pada harga RM2.40, ia berkhasiat dadih serta herba itu memberikan nilai belian yang baik kepada pengguna dalam menjaga kesihatan tubuh badan.

Pengarah urusannya, Jan M Gomez, yang juga berjaya menghasilkan ramuan itu, berkata beliau mengambil masa antara tiga hingga empat tahun menghasilkan produk itu. Ini disebabkan bukan semua herba sesuai dengan campuran dadih. “Sesetengah sari herba rosak atau menjadikan dadih berwarna kurang menarik tetapi herba terpilih ini menghasilkan warna sekata, cantik serta tidak terlalu keras rasanya,” katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, herba yang diimport dari Eropah itu mampu meningkatkan kesihatan tubuh dan dadih pula khasiatnya tidak terhingga. Justeru, menerusi campuran itu menjadikan makanan berkenaan ‘double power’ (dua kali kuasa) kepada tubuh. “Kamomil yang terkenal dengan kehebatannya dalam ramuan kecantikan turut dikesan mampu menenangkan fikiran. Ia juga mampu melegakan simptom sejuk badan, kejang dan sakit perut akibat gangguan penghadaman. Jintan hitam pula mampu merangsang selera makan.

“Kajian terbaru menunjukkan herba echinacea yang turut dikenali ‘coneflower’ berkesan dalam mengelakkan dan mengurangkan gejala selesema, manakala melisse mampu mengurangkan tekanan, sakit kepala dan masalah tidur,” katanya. Produk pertama di Asia Tenggara itu dikatakan tiada kesan sampingan dan alahan kepada individu yang mengambilnya kerana kandungan itu sesuai untuk keperluan tubuh.

Selepas berada di pasaran beberapa bulan lalu, ia mendapat sambutan menggalakkan dan syarikatnya kini masih dalam proses mendapatkan timbal balas daripada orang ramai terhadap produk itu. Menyingkap mengenai minatnya terhadap menghasilkan dadih, Gomez yang juga bekas guru sekolah menengah berkata, ia timbul hasil pelawaan rakan untuk berniaga dadih pada 1983. “Saya berasal dari Australia tetapi sudah lama menetap di Malaysia. Kami memulakan perniagaan kecil — Sunglo dengan produk sulung ‘Natural Yogurt’, kemudian menghasilkan dadih buah-buahan dan seterusnya dadih herba,” katanya, yang menyatakan rakan sepejabat memberi galakan terhadap produk dadih herba berkenaan.

Sementara itu, Gomez berkata, masyarakat negara ini perlu meningkatkan kesedaran dalam pengambilan makanan yang kaya khasiat terutama produk tenusu kerana ia masih kurang mendapat perhatian. “Ibu bapa seharusnya memulakan langkah berkenaan dengan mengambil produk itu selain memperkenalkan kepada anak kerana ia adalah permulaan kepada amalan pemakanan yang sihat dan baik,” katanya yang menyatakan akan meluaskan penghasilan dadih dengan pelbagai herba lagi pada masa depan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home