Tuesday, July 17, 2007

Nasi Daging Pak Ya idaman pengunjung

Laporan ZULFA MOHAMAD zulfa@hmetro.com.my

SEBUT saja nasi beriani daging Simpang Empat Permatang Buloh, Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang, pasti ramai terbayangkan keenakan juadah itu yang sememangnya popular, terutama di kalangan penduduk daerah Seberang Prai Utara.

Bermula dengan hanya sebuah gerai kecil di persimpangan Permatang Buloh sejak 15 tahun lalu, kini Sajian Warisan Cahaya yang beroperasi di Bangunan Perda menjadi tumpuan kerana keistimewaan nasi dagingnya.

Malah, nasi daging Sajian Warisan Cahaya dikatakan sedikit sebanyak mempopularkan nama kampung Permatang Buloh kerana pelanggan dari luar seperti Kuala Lumpur turut tidak melepaskan peluang menikmati nasi daging, terutama ketika cuti persekolahan atau musim perayaan.

Pemilik restoran itu, Yahya Ahmad, 65, pada mulanya hanya menjual kuih-muih di persimpangan jalan sebelum nasi daging menjadi popular sejak lima tahun lalu.Jolokan ‘Nasi Daging Pak Ya’ masih kedengaran, walaupun kini anaknya, Mohamad Noor, 37, mula menguruskan restoran itu yang dianggap warisan keluarga.

Mohamad Noor berkata, Restoran Sajian Warisan Cahaya mulanya popular kerana menjual pelbagai kuih-muih sebelum menu nasi daging diperkenalkan hasil resipi ibunya, Habsah Osman, 58.“Keistimewaan nasi daging Pak Ya terletak pada campuran rempah ratus yang dihasilkan ibu saya.“Ibu yang memulakan resipi nasi daging dan dia akan pastikan resipi dihasilkan mempunyai rasa sama,” katanya.

Nasi daging dicicah air asam menjadi pilihan utama berharga cuma RM5 sepinggan, selain 30 menu lain seperti ayam Bukhari, manakala sup tulang dan sup daging dijual antara RM2.50 hingga RM3.50 semangkuk.Restoran itu beroperasi seawal jam 7 pagi hingga 1 pagi keesokannya setiap hari kecuali Isnin, manakala waktu puncak antara jam 1 petang hingga 3 petang.Seramai 15 pekerja bertugas mengikut syif dengan setiap syif selama 12 jam, manakala sembilan pekerja lagi di restoran cawangan di Kampung Paya, Kepala Batas.Menurut Mohamad Noor, jika nasi daging menjadi pilihan ketika makan tengah hari, waktu petang pula juadah sampingan seperti nasi paprik, nasi goreng pattaya berharga RM3 sepinggan dan air batu campur (RM1.20) melengkapkan menu harian.

“Bagi juadah ringan, pelanggan boleh mencuba mi kuah, bihun sup (RM2.50) dan dadih asli yang cuma RM1 semangkuk sebagai pencuci mulut. Ramai juga mencuba dadih asli kerana ketika ini kebanyakan dadih yang dijual dicampur agar-agar dan rasanya tidak asli,” katanya.

Mengenai rancangan masa depan, Mohamad Noor tidak menolak kemungkinan membuka sebuah lagi cawangan Sajian Warisan Cahaya, tetapi lokasinya masih belum ditentukan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home