Thursday, November 16, 2006

Tauke Al-Ikhsan penyumbang zakat kedua terbesar di Johor

PENAMPILANNYA begitu ringkas dan tidak siapa menyangka beliau memiliki 32 rangkaian perniagaan runcit di seluruh negara, selepas memulakan perniagaan tidak sampai 12 tahun.

Siapa sangka anak muda berusia 36 tahun, berasal dari Skudai, Johor, ini kini adalah juga adalah penyumbang zakat kedua terbesar di Johor tahun lalu, selepas Tabung Haji.

Bukan anak orang kaya, malah pernah gagal mendapat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan, semata-mata kerana tidak dapat menyediakan cagaran.

Ali Hassan Mohd Hassan, Pengarah Urusan Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, tidak memerlukan tali leher dan bilik berhawa dingin untuk mengemudi empayar peragaan runcit barangan sukan berjenama terkemuka di negara ini.

Falsafah perniagaannya mudah: Buat sesuatu dengan bersungguh dan selebihnya berserah kepada takdir. Tetapi setiap yang dibuat mesti disertai dengan niat yang betul, dan jangan sekali-kali tinggal sembahyang lima waktu kerana itu adalah tunjang hidup, serta bersedekah dan jangan abaikan kedua ibu-bapa.

Juga sentiasa pasrah dengan ketentuan yang Maha Esa, katanya, beliau tidak pernah merancang apa yang hendak dilakukan setiap hari, tetapi setiap yang dilalui dibuat dengan kesungguhan yang tidak berbelah bagi.

Mengulas mengenai kesungguhannya dalam membangunkan Al-Ikhsan, Ali Hassan berkata, banyak perkara yang dibuatnya mengikut kata hati, dan jarang mendengar kata orang kerana hanya diri sendiri yang faham kehendak sendiri dan yang akan berdepan sebarang halangan serta apa juga cabaran yang mendatang.

Namun, katanya, kata hati tidak diikuti membuta tuli, kerana setiap langkah yang mahu diambil, akan dibuat penganalisaan dan kajian dari segi keperluan dan pasaran.

Berniaga dalam bidang runcit bukan dibuat dengan membuta tuli, tapi kena kaji pasaran dan fahami keperluan masyarakat,katanya yang tidak menafikan kesukaran hidup masa kecil membuatkan beliau tabah untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

Masih mencari ilmu agama untuk melengkapkan diri sebelum menutup mata, beliau berazam mewakafkan semua hartanya kepada sebuah yayasan yang ditubuhkan sendiri untuk kegunaan generasi di masa depan.

Bila sudah sampai masa saya, saya tidak mahu pegang walaupun seringgit, dan yang ada bukan lagi milik saya, kerana harta itu akan ditanya di akhirat kelak, dan berat tanggungannya bagi seorang insan, katanya yang berhasrat membuka 30 lagi cawangan Al-Ikhsan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lagi.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home